
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Terengganu,
Datin Seri Tengku Ramlah Azizah memberi hamper kepada
seorang kanak-kanak sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia
di Wad Kanak-Kanak Hospital Daerah Dungun
PANDU PUTERI TERENGGANU MOHON AGENSI KERAJAAN, SWASTA DAN NGO MEMBERI BANTUAN TEMPAT KEGIATAN
DUNGUN : Persatuan Pandu Puteri Negeri Terengganu yang telah mencapai usia 90 tahun merayu agar ada pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO ataupun orang perseorangan yang sudi menghulurkan bantuan kepada persatuan tersebut berupa sebuah bangunan ataupun tempat bagi ahli-ahlinya menjalankan kegiatan.
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Terengganu, Datin Seri Tengku Ramlah Azizah Ismail Nasiruddin Shah berkata, buat masa ini ahli-ahlinya terpaksa menumpang di tempat-tempat tertentu yang sebahagian besarnya dipohon melalui Pejabat Pendidikan Daerah.
Beliau berkata, keadaan zaman telah berubah dan Pandu Puteri Terengganu telah mencapai usia 90 tahun tetapi masih tidak mempunyai tempat khusus untuk menjalankan kegiatan.
“Sebenarnya kita amat berharap agar ada agensi kerajaan, swasta, NGO ataupun orang perseorangan yang bermurah hati untuk memberikan kemudahan tempat ataupun bangunan kepada Pandu Puteri di setiap daerah di negeri ini bagi memudahkan ahli-ahli kami bergiat.
“Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada Pejabat Pendidikan Negeri atau daerah yang selama ini membantu kami menyediakan kemudahan tempat bagi anggota menjalankan aktiviti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian/Harian Metro pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Dungun semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Zakariah Ali, Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Daerah Dungun, Zul Bahari Ahmad dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Dungun, Mokhtar Omar.
Tengku Ramlah Azizah yang juga ibu saudara kepada Sultan Mizan Zainal Abidin seterusnya berkata, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia semalam pihaknya juga membuat lawatan ke Wad Kanak-Kanak Hospital Dungun.
Jelasnya pada program tersebut pihaknya bermurah hati memberi hamper kepada kanak-kanak yang sedang di wad berkenaan.
“Sebenarnya itu adalah di antara kelendar tetap Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu
Dan berharap dengan aktiviti kebajikan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga kanak-kanak itu,” ujarnya.