Bulan Ramadan Al Mubarak telahpun meninggalkan kita dan hari kemenangan telahpun tiba. Sanak saudara pun sudah mula menjengok ke rumah, berkumpul beramai-ramai dengan penuh mesra dan bahagia. Kebanyakan mereka mengambil kesempatan untuk bercuti lebih awal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 01 Syawal 1429 bersamaan 01 Oktober 2008. Suasana meriah juga amat dirasai apabila umat Islam bertandang ke masjid dan surau untuk menunaikan solat sunat aidilfitri dan selepas itu mereka berkunjung ke rumah rakan-rakan dan keluarga untuk bertemu serta bermaaf-maafan. Inilah intipati topik perbincangan kita hari ini. Hari Raya seringkali dikaitkan dengan soal bermaaf-maafan, budaya kunjung- mengunjung dan perpaduan di kalangan umat Islam serta bukan Islam amat dirasai.
Ya, bagi kita kehidupan bekeluarga bukanlah isu besar yang perlu diberikan perhatian serius. Jika itu tanggapan kita, ternyata ia adalah sesuatu yang meleset. Dalam kehidupan kita hari ini, tidak semua keluarga mempunyai hubungan yang kukuh. Hakikatnya masih terdapat di kalangan kita yang tidak bertegur sapa walaupun di kalangan adik beradik sendiri. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor yang tidaklah perlu dibincangkan di sini. Apa yang penting, hubungan dingin sesama keluarga itu sebenarnya masih wujud dan berlaku.
Kita pun hairan mengapakah perkara sedemikian masih berlaku. Oleh kerana itu, Hari Raya yang tiba setahun sekali merupakan masa paling sesuai untuk kita semua merapatkan hubungan dan bermaaf-maafan sesama keluarga kita. Usahlah bergaduh sesama sendiri hanya disebabkan isu-isu yang remeh. Jika kita boleh mengambil sikap mementing dan mengutamakan perpaduan di kalangan keluarga kita, maka ia sudah tentu menjadi permulaan yang baik ke arah mengeratkan hubungan sesama kita di kalangan masyarakat. Ini kerana, permulaan yang baik dalam sesebuah keluarga akan membawa banyak keuntungan kepada masyarakat.
Oleh kerana itulah terdapatnya kempen keluarga bahagia, rumahku syurgaku dan sebagainya. Semua itu turut mempunyai matlamat bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan sendiri. Justeru, pada kesempatan bersempena dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang menjadi Hari Kemenangan kepada kita umat Islam, marilah kita semua mengambil peluang untuk bukan sahaja bermaaf-maafan tetapi memperkukuhkan lagi institusi keluarga.
Seperti yang disebutkan tadi, Aidilfitri telah berjaya menghimpunkan seluruh ahli keluarga, sama ada yang kecil atau pun besar. Perhimpunan tersebut jika masih dibajai dengan perasaan yang negatif, maka ia tidak akan mencapai matlamat di sebalik ketibaan Hari Raya itu sendiri. Lupakan sejenak masalah perbezaan fahaman politik. Jika orang yang bermain politik mempunyai fahaman yang tidak terbuka maka hancurlah pertalian kekeluargaan. Jika kita tidak menagani perkara ini secara positif maka seorang demi seorang ahli keluarga kita akan terhakis dari dairi kehidupan keturunan.
Jadi rebutlah peluang pada Hari Raya untuk memohon maaf serta memaafkan orang lain. Jika kita gagal merebut peluang yang datang hanya sekali setahun amat malang sekali. Adakah sifat ego mengatasi semuanya. Buanglah sifat keegoan dan taatlah kepada perintah Allah SWT.
Mungkin sebahagian daripada anda menyatakan topik yang diperkatakan ini agak mengarut. Namun jika anda menyelami apa yang sedang berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini, isu yang dibincangkan ini amat relevan dan perlu diberikan tumpuan.
Ingatlah biasanya isu yang dianggap remeh itu mampu membawa kesan yang sangat besar terhadap kehidupan seharian kita tanpa kita sendiri menyedarinya. Tabiat orang kita pun memang begitu, selalu memandang mudah mengenai banyak perkara. Oleh itu bersempena bulan Syawal yang mulia ini marilah kita berkunjung ke rumah sanak saudara bagi merapatkan uquwah Islamiah. Perhimpunan keluarga amat penting dalam dairi kehidupan kita kerana inilah keturunan kita. Janganlah apabila Allah SWT menjemput salah seorang ahli keluarga kita kembali kepadaNya barulah kita menyesal dan meratapi di tanah perkuburan.
Memohon maaflah sesama kita agar Allah memaafkan kita. Lupakanlah segala salah faham dan sengketa di hari yang mulia ini. Marilah kita bersatu dan mengeratkan perpaduan bermula di dalam keluarga kita sendiri. Sesungguhnya keluarga bahagia akan bermula di hati yang luhur dan mulia dari dalam diri kita. Fikirkanlah...
