Sunday, October 19, 2008

BERITA POLITIK SEMASA 1

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan bersalam
dengan salah seorang perwakilan pada majlis Perasmian Persidangan
Kelompok di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun

WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO DIMINTA LUPAKAN SENGKETA SELEPAS PEMILIHAN

DUNGUN: Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Dungun di sini diminta supaya melupakan sengketa selepas pemilihan pucuk pimpinan parti dan perlu berganding bahu demi memperkuatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, berganding bahu serta bersatu di kalangan ahli UMNO sangat penting terutamanya dalam keadaan rakyat sudah kurang yakin dengan parti ini.

Beliau berkata, pada pilihan raya umum ke -12 lalu meskipun negeri Terengganu memenangi dua pertiga dan BN berjaya memerintah tetapi ada lagi beberapa kawasan yang nampak lemah dan mengalami kekalahan.

“Kita tahu bahawa semua ahli UMNO dan BN telah memainkan peranan yang setimpal semasa pilihan raya umum lalu tetapi ada beberapa kawasan di negeri ini seperti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura nampak lemah dan kalah kepada calon Pas.

“Oleh itu saya berseru kepada semua ahli terutamanya pucuk pimpinan yang dipilih sebagai Ketua, Naib Ketua dan ahli jawatankuasa pada persidangan perwakilan hari ini perlu memainkan peranan yang utuh dan lupakanlah sengketa demi melihat UMNO terus gah di kacamata rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Berkelompok Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Besar Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail (SMASID) di sini hari ini.

Persidangan Pergerakan Wanita dilangsungkan di Dewan Besar SMASID, Pemuda di Dewan Majlis Perbandaran Dungun dan Puteri di Dewan Perpustakaan Dungun.

Tinjauan Berita Harian mendapati semua persidangan sedang berlangsung dengan aman dan jumlah perwakilan Pergerakan Wanita yang hadir ialah 262 orang, Pemuda 288 manakala Pergerakan Puteri ialah seramai 120 orang.

Datuk Rosli yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu seterusnya berkata, kekalahan calon BN Kawasan Sura bukanlah kekuatan Pas tetapi ada segelintir penyokong BN yang memberi undi kepada calon Pas.

Bagaimanapun, beliau memuji ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO termasuk MCA dan Gerakan yang bekerja keras menjalankan kempen bagi memastikan calon Parlimen BN, Rantau Abang serta Paka menang pada pilihan raya umum lalu.

No comments: